Mengenai Yayasan Aminuddin Baki

Yayasan Aminuddin Baki (YAB) adalah sebuah pertubuhan kebajikan tidak berasaskan untung (non-profit charitable organization) yang ditubuhkan khusus bagi membekalkan dan memberi bantuan kewangan pendidikan untuk anak - anak Melayu termiskin dan yang tidak berkemampuan, seperti yang termaktub di dalam Surat Ikatan Amanah (Trust Deed). Kriteria untuk pemberian biasiswa atau bantuan kewangan pendidikan kepada yang layak adalah anak - anak ini adalah dari keluarga miskin / tegar, pelajar - pelajar yang mempunyai rekod akademik yang sangat baik, anak - anak di peringkat persekolahan rendah awam, menengah awam serta yang telah mendapat penempatan di dalam Universiti Tempatan Awam dan, anak - anak ini tidak terikat dengan mana - mana bantuan biasiswa dan bantuan kewangan pendidikan lain. Menyingkap sejarah asal, idea penubuhan YAB diilhamkan oleh Allahyarham Tun Syed Nasir pada 25hb Disember 1965, yakni pada malam pemergian Allahyarham Dato’ Seri Aminuddin Baki (Pada 26hb November 2015, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah mengurniakan darjah kebesaran Darjah Seri Paduka Mahkota Perak secara anumerta kepada Dato’ Seri Aminuddin Baki sempena hari keputeraan Baginda).

Seperti yang diketahui umum, Allahyarham Dato’ Seri Aminuddin Baki sentiasa memastikan anak - anak ini mendapat pendidikan yang terbaik yang akan menjadi pemangkin untuk mereka mencapai kelayakan akademik tertinggi dan justeru, mengubah dan memperbaiki kehidupan mereka. Pada ketika itu, negara kita masih berada di bawah jajahan British dan Allahyarham Dato’ Seri Aminuddin Baki adalah anak Melayu pertama yang menyandang jawatan Ketua Pengarah Pendidikan. Sama - sama di bidang pendidikan merapatkan Allahyarham Dato’ Seri Aminuddin Baki dan Allahyarham Tun Syed Nasir yang ketika itu memegang jawatan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, untuk mereka saling berkongsi idea dan wawasan terutama kedua - duanya mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi. Selain daripada pemberian bantuan kewangan pendidikan, YAB juga aktif dalam mempromosikan program akademik di sekolah - sekolah yang mengangkat nama Allahyarham Dato’ Seri Aminuddin Baki. Antara sekolah - sekolah tersebut ialah Sekolah Aminuddin Baki Chemor, Perak (di tempat kelahiran Allahyarham Dato’ Seri Aminuddin Baki), Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki Slim River, Perak, Sekolah Aminuddin Baki, Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur dan Sekolah Aminuddin Baki Johor Bahru, Johor.

“Jangan biarkan bangsa Melayu itu seperti pepatah: ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan”

Allahyarham Dato’ Seri Aminuddin Baki

Sejarah Aminuddin Baki

Dato' Seri Aminuddin Baki ialah "Bapa Pendidikan Malaysia" serta bekas Ketua Penasihat Pendidikan Malaysia (kini dikenali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan) yang paling muda ketika berusia 36 tahun. Beliau mempertingkatkan mutu pelajaran di negara ini, termasuk menyusun Dasar Pelajaran Kebangsaan melalui Penyata Razak pada tahun 1956, dan Laporan Abdul Rahman Talib pada tahun 1960. Peranan beliau dalam mengilhami Sistem Pendidikan Kebangsaan telah menghasilkan banyak kejayaan. Perubahan yang lebih ketara ialah permulaan sijil - sijil peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE), Senior Cambridge dan seterusnya Higher School Certificate. Banyak sekolah dan institusi di Malaysia telah dinamakan sempena namanya.

 

 

Kehidupan awal

Dilahirkan di sebuah kampung di Chemor, Perak pada 26 Januari 1926, Aminuddin memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Chemor pada tahun 1932. Selepas lulus peperiksaan darjah lima pada tahun 1936, beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Anderson yang merupakan sekolah Inggeris yang terbaik di Ipoh ketika itu. Beliau tamat persekolahan menengahnya pada tahun 1941. Pada sekitar tahun 1945, Aminuddin mula menunjukkan minat dalam persatuan pelajar ketika berasa amat kagum dengan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di Institusi Victoria, Kuala Lumpur, walaupun persatuan itu hanya mempunyai 11 orang ahli. Persatuan ini kemudian bertukar nama kepada Kesatuan Persuratan Penuntut-penuntut Melayu pada 11 Februari 1946, dengan tujuan menyatukan semua persatuan pelajar di Tanah Melayu. Aminuddin dilantik sebagai setiausaha dan kemudian, menubuhkan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) di Perak pada April 1946. Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada Oktober 1947, Aminuddin diterima sebagai pelajar di Kolej Raffles, kini merupakan sebahagian Universiti Nasional Singapura sejak 8 Oktober 1949.

Pada masa ini, UMNO yang telah ditubuhkan bagi menentang penubuhan Malayan Union menggalakkan pemimpin-pemimpin persatuan pelajar untuk berusaha ke arah pencapaian matlamat mereka. Oleh itu, Aminuddin dan pemimpin pelajar lain mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah persatuan yang lebih kuat. Tujuh persatuan telah bersidang selama dua hari di Jalan Tambun, Ipoh. Hasil daripada persidangan itu terbentuklah Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 15 Ogos 1948.

Walau bagaimanapun pada tahun 1949, Aminuddin terpaksa menghentikan kegiatan persatuan pelajarnya kerana ditawarkan ke Universiti Malaya, Singapura. Pada ketika itu, beliau hanya mengikuti perkembangan persatuan dari jauh. Semasa di universiti, Aminuddin berminat mengajar dan untuk menimba pengalaman, beliau mendaftar sebagai guru sambilan di Sekolah Malam Anglo-Melayu. Beliau mengajar di sekolah itu dari tahun 1949 hingga 1951. Pada tahun 1950, beliau bergiat aktif semula dalam GPMS dan dilantik sebagai Yang Dipertua persatuan itu. Dalam tahun yang sama, beliau lulus peperiksaan Sarjana Sastera dan pada tahun berikutnya, memperoleh Ijazah Sarjana Sastera dengan Kepujian.

 

Kerjaya

Selepas menamatkan pelajarannya pada tahun 1951, Aminuddin kembali ke Perak dan menjadi guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusuf di Batu Gajah untuk sebentar waktu dan kemudian, berkhidmat di Sekolah Anderson hingga Julai 1952. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajarannya dalam bidang pendidikan di Institut Pendidikan, Universiti London dengan Biasiswa Ratu dan meninggalkan Pulau Pinang menaiki kapal pada 12 Julai 1952. Aminuddin memperoleh Ijazah Sarjana Kaedah-kaedah dalam bidang pendidikan pada bulan Julai 1953. Selepas pulang ke tanah air, beliau ditawarkan jawatan Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Beliau memperkenalkan Sejarah Islam kepada pelajar tetapi tidak termasuk dalam sukatan pelajaran. Pada bulan September 1955, Aminuddin terlibat dalam menyediakan Laporan Pendidikan Razak dan pada tahun 1960, beliau dipilih sebagai ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Abdul Rahman Talib.

Ketika berusia 36 tahun, Aminuddin dilantik menjadi Ketua Pegawai Pendidikan Selangor pada 1962, dan pada tahun yang sama menjadi Ketua Penasihat Pendidikan Malaysia (kini dikenali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan). Pada masa yang sama, beliau aktif dalam persatuan dan pertubuhan lain seperti Senat Universiti Malaya, Persatuan Al-Rahman, Persatuan Sejarah Tanah Melayu dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau juga mewujudkan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Aminuddin menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia pada tahun 1963.

Beliau diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai perancang pendidik yang bijaksana dan berpandangan jauh di Asia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO)

 

Meninggal dunia

Aminuddin Baki meninggal dunia pada 24 Disember 1965 ketika berusia 39 tahun kerana diserang penyakit jantung selepas menunaikan sembahyang.Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia. 'Tabung Pendidikan Aminuddin Baki' telah dilancarkan dan akhbar The Strait Times telah memberi kerjasama berkempen mengutip derma daripada orang ramai. Pejabat Strait Times di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Ipoh ditugaskan untuk menerima sumbangan .Menteri Pelajaran ketika itu ialah Mohamed Khir Johari (Tan Sri). [1][2]

 

Pidato Umum Aminuddin Baki

Jawatan tertinggi beliau ialah Ketua Penasihat Pelajaran. Tun Hamdan Sheikh Tahir menyifatkan beliau sebagai `Bapa Pendidikan Moden Malaysia’. Dalam bidang pendidikan Aminuddin telah mempelopori berbagai aspek pendidikan seperti kurikulum, pentadbiran, aspek bahasa pengantar, falsafah pendidikan negara bahkan semua aspek yang menyentuh masalah pendidikan negara .

 

Sumbangan

Antara sumbangan Aminuddin Baki termasuk seperti berikut: (i) Memperkenalkan Sejarah Islam kepada guru-guru pelatih di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. (tetapi tidak termasuk dalam sukatan pelajaran) (ii) Melibatkan diri dalam penyediaan Penyata Razak pada tahun 1955. (iii) Menjadi ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Rahman Talib pada tahun 1960: (iv) Mewujudkan Sijil rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). (v) Menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (vi) Sebab itu sekolah aminuddin baki adalah sekolah hebat kerena aminuddin baki menubuhkan lembaga peperiksaan.